Wednesday, July 25, 2012

Menyedari ombak dunia

Sudah sekian lama jari jemariku tidak menyentuh papan kekunci lantas menyemai benih-benih cerita suka dan suka. Ramadhan menjelma lagi. Alhamdulillah. Bersua kita. Semoga kali ini amalan dipertambah. Pahala diperganda. Hati mulai tabah. Cekal menangguk ombak 'mesra' pantai dunia :) Pada kotak pemikiranku, adakah masih dipertambah usia pada episod mendatang? Sinar Syawal seakan tidak mempelawa kemunculanku untuk meraikannya. Ketiadaan ibunda tercinta, walau pemergiannya tidak begitu dirasai. Entah kenapa. Seakan masih tidak percaya dia sudah tiada. Hanya foto lama menjadi peneman disaat hati mula patah, tubuh mulai rebah, mata berpinar-pinar. Tak nampak jalan suluhan. Hidupku umpama nyawa kedua. Setelah tragedi banjir beberapa tahun yang lalu hampir saja meragut nyawaku. Entah dari mana ku dapat kekuatan untuk menyelamatkan diri yang sudah pun lemas. Terima kasih Allah. Setiap detik hidupku, tidakku sia-siakan. Walau mata sering menangkap dongengan kehidupan. Sekalipun aku tidak pernah terikut lentuk arus kehidupan. Sentiasa ada batas menjadi sandaran. Andai terlanjur pantas Kau perbetulkan. Syukur, aku sentiasa menjadi pantauan-Mu. Tapi aku masih banyak kekurangan dan kelemahan. Tunjukkan aku jalan yang benar, jalan yang dilalui oleh Para Syuhada. Ya Allah, dunia-Mu begitu indah. Ingin saja ku dapatkan semua yang melatari dunia. Tapi aku tahu itu sementara. Pinjaman semata-mata. Biarlah aku bersederhana. Tiada emas permata. Tak mengapa. Asalkan Kau sentiasa bersamaku selalu. Walau aku bakal ditinggalkan, tapi jangan sesekali Kau yang meninggalkanku. Hidup dan matiku kerana-Mu. Aku inginkan kedamaian, kebahagiaan. Izinkan aku menapak di muka bumi-Mu dalam redha-Mu. Ampuniku Ya Allah. Maafkan aku kerana terkadang zahirku tak dapat menghalang segelintir hamba-Mu daripada melakukan dosa. Aku khilaf. Aku tak berkuasa. Aku juga manusia. Ya Allah, lindungi aku daripada fitnah dunia. Lindungi aku dan yang tercinta. Selamatkan mereka Ya Allah. Jauhi aku daripada dosa.
Sedarkan aku tentang jangka hayat dunia. Mungkin esok atau lusa, aku telah tiada. Semoga aku bersedia :)

No comments: